BINTULU: Pelaksanaan projek Transit Aliran Autonomi (ART) bakal turut dilaksanakan di Bintulu sekitar tahun 2025 dengan Kerajaan Sarawak kini memutuskan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek tersebut di sini.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, sistem pengangkutan itu akan menghubungkan kawasan sekitar Bintulu, Tanjung Kidurong dan juga Samalaju.
“Jambatan Kemena akan siap dibina sekitar tahun 2024 atau 2025, dan ia akan memendekkan perjalanan dari Lapangan Terbang Bintulu ke Bintulu kepada 10 minit.
“Seterusnya, kita hubungkan (kawasan tersebut) dengan ART sampai ke Samalaju dan Kidurong,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Tapak Projek Perumahan di Lot 170, 287 & 290 Buan Land District di Tatau, Bintulu pada Selasa.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menjelaskan, buat masa ini, lebih kurang 3,000 pekerja sedang berulang-alik ke Tanjong Kidurong.
“Jadi, apabila adanya ART termasuk dengan loji-loji methanol dan hidrogen yang akan kita bangunkan, saya rasa akan terdapat 5,000 hingga 6,000 orang yang akan berulang-alik antara Bintulu dan Kidurong.
“Kajian kebolehlaksanaan kita mulakan, dan saya rasa kita akan mulakan pelaksanaan projek ART pada 2025,” tambahnya.
Katanya lagi, pelaksanaan ART di kawasan tersebut adalah lebih senang memandangkan pengetahuan serta pengalaman sudah didapati menerusi pelaksanaan projek yang sama di Kuching.
Dalam perkembangan lain, Premier Sarawak memberitahu, pemerkasaan jaringan jalan raya antara Tatau dengan Bintulu secara langsung akan membangunkan kawasan Tatau terutamanya dari sudut ekonomi.
Katanya, setelah projek Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya di kawasan itu, tempoh perjalanan antara kedua-dua lokasi akan dipendekkan lagi.
“Rakyat tempatan boleh bekerja di Bintulu dan tinggal di Tatau. Mereka yang berkebun di Tatau pula boleh berjual di Bintulu.
“Bermakna, dari sudut ekonominya akan berkembang, dan kerana Bintulu begitu sesak, maka Tatau akan menjadi ‘pinggir bandar’ (suburb) Bintulu. Lebih kurang seperti Samarahan dengan Kuching,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, ini merupakan perancangan jangka panjang yang mengambil masa antara lima hingga 10 tahun.
Antara hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Datuk Talib Zulpilip, ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap ADUN Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman, Residen Bahagian Bintulu, Nyurak Keti, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datu Muhamad Yakup Kari dan Timbalan Pengerusi BDA, Dato Haidar Khan Ashgar Khan.
Sumber dari : Sarawakku